Tazkirah Buat Saudara-saudaraku

"Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman"


2 Komen

22 Julai 2009 Gerhana Tanda Kehebatan Allah

Saudara-saudaraku di sana, di mana jua berada.

Hari ini, dengan ilmu falak atau astronomi yang dianugerahkan kepada orang-orang yang istimewa, sekali lagi manusia akan dipertontonkan Allah Taala dengan kehebatan. kebesaran dan keagungan-Nya kepada manusia, kerdilnya kita boleh dibayang dan boleh diukur oleh sesiapa saja.
Teruskan membaca


Panasnya Neraka

ilustrasi api

Abu Hurairah meriwayatkan:

“Ketika Rasulullah s.a.w berkata: Api dunia kamu adalah satu dari 70 bahagian api neraka; “lalu seseorang bertanya; “Ya Rasulullah,adakah ia tidak akan mencukupi untuk membakar orang kafir? Maka Rasulullah menjawab “Api neraka mempunyai 69 bahagian lebih dari api biasa di dunia dan kesemuanya adalah sangat panas sebagaimana ia (api dunia).

(Riwayat Bukhari).

Saudara-saudaraku…

Marilah kita ke Sirathal mustaqim….jalan yang lurus, jalan yang betul, jalan yang diredhai Allah, jalan yang ditunjukkan Rasulullah…Jangan kita tergigit oleh api neraka walau sesaat pun kerana seksanya amat memedihkan dan mendahsyatkan. Moga kita diselamatkan Allah dari Neraka Jahannam yang disediakan untuk manusia kufur itu. Ingatlah bahan bakar api neraka itu hanyalah manusia dan batu-batu. Siapakah manusia itu? Iaitu manusia yang sentiasa memprotes perintah Allah. Dan apalah batu-batu itu? Di antara batu-batu itu adalah batu sembahan manusia iaitu patung berhala…Ingatlah wahai saudara-saudaraku yang beriman, kembalilah kepada Allah dan Rasulnya….Allahumma inna nauzubika min azabi jahannam wa min azabil qabr. Amin…

Wallahu a’lam


Doa Malaikat untuk hambaNya yang soleh

1. Orang yang tidur dalam keadaan berwuduk.
Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa ‘Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci”.

(Riwayat Ibnu Hibban )

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.
Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah salah seorang di antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia’”

(Riwayat Muslim )

3. Orang yang berada di shaf barisan depan berjemaah.
Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada (orang–orang) yang berada pada shaf–shaf terdepan”

(Riawayat Abu Daud)

4. Orang yang menyambung shaf solat berjamaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam shaf).
Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang–orang yang menyambung shaf–shaf”

(Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim)

5. Orang yang mengucapkan ‘aamin’ ketika imam selesai membaca Al Fatihah.
Rasulullah SAW bersabda, “Jika seorang Imam membaca ‘ghairil maghdhuubi ‘alaihim waladh dhaalinn’, maka ucapkanlah oleh kalian ‘aamiin’, kerana barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni dosanya masa lalu”.

(Riwayat Bukhari)

6. Orang yang duduk di tempat solatnya setelah selesai solat.
Rasulullah SAW bersabda, “Para malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu di antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat di mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wudhuknya, (para malaikat) berkata, ‘Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia”

(Riwayat Imam Ahmad)

7. Orang yang solat subuh dan asar secara berjemaah.
Rasulullah SAW bersabda, “Para malaikat berkumpul pada saat solat subuh lalu para malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga subuh) naik (ke langit), dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu salat asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal, lalu Allah bertanya kepada mereka, ‘Bagaimana kalian meninggalkan hambaku?’, mereka menjawab, ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, maka ampunilah mereka pada hari kiamat’”

(Riwayat Imam Ahmad)

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
Rasulullah SAW bersabda, “Doa seorang muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, maka malaikat tersebut berkata ‘aamiin dan engkaupun mendapatkan apa yang ia dapatkan’”

(RiwayatMuslim)

9. Orang–orang yang berinfak.
Rasulullah SAW bersabda, “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, salah satu di antara keduanya berkata, ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak’. Dan lainnya berkata, ‘Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang bakhil’”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

10. Orang yang sedang makan sahur.
Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang–orang yang sedang makan sahur”

(Riwayat Ibnu Hibban dan Thabrani)

11. Orang yang sedang menjenguk orang sakit.
Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga subuh”

(Riwayat Imam Ahmad)

12. Orang yang sedang mengajarkan kebaikan kepada orang lain.
Rasulullah SAW bersabda, “Keutamaan seorang alim atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah diantara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya dan bahkan ikan, semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain”

(Riwayat Tirmidzi)

Wallahu a’lam. Moga mendapat rahmat dari Allah Taala. Amin…


Cara didik anak

Saudara-saudaraku…

Mendidik anak memang bukan mudah. Mereka bukan alat permainan yang boleh dialih, diubah dan sebagainya. Anak dilahirkan adalah berdasarkan fitrah. Mereka akan membesar mengikut persekitaran.

Hadis Abu Hurairah katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong?

(Riwayat Muslim)

Mengikut hadis di atas, anak dilahirkan dalam keadaan yang suci, terpulang kepada ibubapa bagaimana mahu mencorakkannya.., maka corakkanlah mereka dengan cara yang diredhai Allah.

Pesanan Saidina Ali r.a :

Didiklah anak kamu dengan cara yang berbeza setiap 7 tahun.

7 tahun pertama, beri dan ajarkan mereka tentang kasih sayang. Manjakan mereka dengan kelembutan dan rasa cinta.

7 tahun kedua, berlaku tegas dengan mereka, didik mereka dan perbetulkan kesalahan yang mereka lakukan.

7 tahun ketiga, berkawanlah dengan mereka, di saat ini mereka memerlukan teman untuk berbicara dan mengemukakan pendapat. Mereka sudah boleh berfikir, bersahabatlah dengan mereka sebelum mereka mempunyai sahabat lain yang boleh merosakkan akhlak.

Sumber : WanWmaBlog

Moga berjaya mencuba mendidik anak-anak kita.


2 Komen

Dajal ; Rupa dan Kezalimannya

Hadis Abu Hurairah r.a :
Nabi s.a.w bersabda: Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah dibangkitkan para Dajal pendusta yang hampir bilangan mereka tiga puluh orang. Setiap mereka mendakwa dirinya adalah Rasul (utusan) Allah.”

Hadis Al-Mughirah bin Syubah r.a. katanya
“Tiada seorang pun yang bertanya kepada Nabi s.a.w tentang Dajal lebih banyak daripada apa yang aku tanya. Rasulullah s.a.w bersabda: Apakah yang menyusahkan kamu. Dia tidak boleh memberi sebarang kemudaratan kepada kamu. Aku berkata: Wahai Rasulullah! Mereka berkata, dia (Dajal) mempunyai makanan dan sungai. Nabi bersabda lagi: Dia merupakan makhluk yang paling hina kerana boleh menipu para mukmin dengan nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya”

Hadis  Anas bin Malik r.a. katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tiada seorang Nabi pun yang diutuskan melainkan dia memberi peringatan (yang menakutkan) kepada umatnya tentang penipu yang buta sebelah matanya. Ketahuilah bahawa Dajal itu buta sebelah matanya dan Tuhan kamu tidak buta sebelah matanya dan ditulis di antara dua matanya (Dajal) Kaf Fa dan Ra (Kafir)”

Hadis  Abdullah bin Umar r.a berkata:
Bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: Pada suatu malam aku bermimpi berhampiran Kaabah aku melihat seorang lelaki berkulit sawa matang, sebagaimana engkau pernah melihat seorang lelaki tampan berkulit sawa matang, dia berambut ikal sebagaimana engkau pernah melihat seorang lelaki tampan berambut ikal. Dia menyikat rambutnya yang masih basah. Dia bersandar kepada dua orang atau kepada bahu dua orang sambil melakukan Tawaf di Baitullah. Lalu aku bertanya: Siapakah lelaki ini? Ada yang menjawab: Dia adalah Al-Masih bin Mariam. Kemudian aku melihat pula seorang lelaki berambut kerinting, mata kanannya buta seperti buah anggur yang masak ranum iaitu matanya terkeluar. Lalu aku bertanya: Siapa pula lelaki ini? Ada yang menjawab: Dia adalah Al-Masih Dajal”

Hadis Huzaifah r.a. katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Dajal ialah orang yang buta matanya sebelah kiri, lebat (panjang) rambutnya serta dia mempunyai Syurga dan Neraka. Nerakanya itu merupakan Syurga dan Syurganya pula ialah Neraka”

Hadis Abu Hurairah r.a. katanya:
“Rasulullah s.a.w telah bersabda: Perhatian! Aku akan menceritakan kepada kamu tentang Dajal apa yang belum diceritakan oleh Nabi kepada kaumnya. Sesungguhnya Dajal itu buta sebelah matanya. Dia akan datang membawa bersamanya seperti Syurga dan Neraka. Syurga yang didakwa oleh Dajal itu sebenarnya adalah Neraka. Aku memperingatkan kamu (dalam masalah Dajal) sebagaimana Nabi Nuh memperingatkan kaumnya”

Hadis Anas bin Malik r.a. katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada negara (dalam dunia) melainkan akan dipijak (dilanda) oleh Dajal kecuali Mekah dan Madinah kerana setiap jalan dan lereng bukit dijaga oleh barisan Malaikat. Oleh itu Dajal akan turun (berhenti) di satu kawasan bernama Shibkhah (tanah kering lagi masin) maka Madinah bergegar sebanyak tiga kali, kemudian semua para Kuffar (orang kafir) dan para Munafik keluar dari Madinah menemui Dajal

Hadis Abu Said Al-Khudry r.a. katanya:
Rasulullah s.a.w telah menceritakan kepada kami pada satu hari, cerita yang panjang tentang Dajal. Antara perkara yang baginda ceritakan kepada kami ialah sabdanya: Dajal akan datang sedangkan dia tidak dapat memasuki jalan-jalan dan lereng-lereng bukit di Madinah maka dia berhenti di kawasan tanah yang masin dan gersang (tiada tumbuhan) yang terletak selepas Madinah. Maka keluar pada hari itu seorang lelaki yang paling baik atau (keraguan rawi) antara manusia yang baik lalu lelaki itu berkata kepada Dajal: Aku bersaksi sesungguhnya engkau ini adalah Dajal sebagaimana yang telah diceritakan oleh Rasulullah s.a.w dalam Hadisnya. Dajal pun bertanya: Apa pendapat kamu sekiranya aku mematikan yang ini kemudian aku menghidupkannya semula. Adakah kamu ragu-ragu tentang masalah itu. Lelaki itu menjawab: tidak. Maka Dajal telah membunuhnya kemudian menghidupkannya semula. Lalu lelaki itu berkata sebaik sahaja Dajal menghidupkannya: Demi Allah. Aku lebih mengetahui tentang dirimu sekarang ini dari apa yang aku tahu kelmarin. Abu Said menyambung lagi: Dajal ingin membunuh lelaki itu tetapi tidak berjaya

Semua hadis diatas diriwayatkan oleh Imam Muslim

Moga mendapat pengajaran dan info berguna buat kita semua. Wallahu A’lam.


2 Komen

Zikir ; pintu pahala

Sabda Rasulullah s.a.w ;

“Tidak mampukah salah seorang daripada kalian meraih seribu kebaikan dalam sehari? Maka berkatalah salah seorang sahabat : “Bagaimanakah salah seorang di antara kita meraih seribu kebaikan (dalam sehari)? Baginda bersabda : ” Ucapkanlah tasbih Subhanallah wabihamdihi seratus kali, necaya akan dicatat baginya seribu kebaikan dan dihapus baginya seribu keburukan”.

(Riwayat Muslim)

“Ada kalimah yang ringan (diucapkan) oleh lisan tetapi berat dalam timbangan di sisi Allah ; Subhanallah wabihamdihi subhanallahil azim”

(Shahih Ibnu Majah)

Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahuakbar, (adalah kalimah yang dengan membacanya) akan ditanam bagimu sebatang pohon dalam syurga”

(Shahih Ibnu Majah)