Tazkirah Buat Saudara-saudaraku

"Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman"

Syabas Untuk MPKB


KOTA BHARU 20 Dis. – Akibat tidak menutup aurat dan dianggap berpakaian seksi, seramai 15 wanita Islam didenda oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini semalam.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi menutup aurat yang diadakan di Pasar Borong Wakaf Che Yeh bermula pukul 10 malam.

Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI, Wan Sharafi Wan Mustafa berkata, tangkapan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Perniagaan MPKB-BRI 1986 (Pindaan 2002).

Beliau berkata, peniaga dan pekerja terbabit dikenakan tindakan kerana berpakaian seksi dan tidak menutup aurat dengan sempurna.

‘‘Operasi itu diadakan selepas kita dapati ramai peniaga dan pekerja wanita beragama Islam tidak menutup aurat walaupun pekeliling bertajuk Arahan Mematuhi Etika Berpakaian telah dikeluarkan sebelum ini.

‘‘Dalam operasi ini, kita mengeluarkan kompaun kepada peniaga di pasar borong dan kedai makan yang tidak menutup aurat.

‘‘Mereka yang tidak menutup aurat termasuk mendedahkan lengan dikenakan kompaun sebanyak RM500 dan perlu hadir di Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI untuk menyelesaikan denda itu,’’ katanya di sini hari ini.

Wan Sharafi berkata, tindakan tersebut diharap dapat memberi peringatan kepada wanita Islam yang lain supaya menutup aurat ketika bekerja.

Katanya, pihak penguat kuasa MPKB-BRI akan mengadakan operasi seperti itu dari semasa ke semasa untuk memastikan umat Islam menutup aurat sejajar dengan tuntutan agama.

‘‘Bagaimanapun, arahan ini dikecualikan kepada wanita bukan Islam namun mereka dinasihatkan supaya berpakaian sopan.

‘‘Penguatkuasaan peraturan itu bukan perkara baru malah ia dilaksanakan sejak sembilan tahun lalu.

‘‘Malah, surat arahan peringatan tersebut dikeluarkan setiap tahun oleh MPKB-BRI kepada semua pemilik premis supaya mematuhinya,’’ katanya.

http://www.utusan.com.my
21.12.2009

Komentar ditutup.