Tazkirah Buat Saudara-saudaraku

"Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman"

Taqwa Adalah Akhlak Mukmin


Tahukah saudaraku sekalian…?

Ketaqwaan adalah simbol atau lambang muslim sejati yang benar-benar beriman kepada Allah. Di dalam al-Quran dan hadis, sifat taqwa seringkali dikaitkan sebagai sifat kejayaan  dan kebahagiaan manusia di  akhirat.


Dari Abu Zar Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman Muaz bin Jabal r.a, bersabda Rasulullah s.a.w. : “Bertaqwalah kepada Allah di mana saja kamu berada. Dan ikutilah setiap perbuatan dosa dengan mengerjakan amalan kebaikan yang akan memadamkan dosa itu dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang terpuji.” (Riwayat al-Tirmizi)

Berdasarkan saranan Rasulullah s.a.w tersebut dapat disimpulkan bahawa taqwa adalah sifat yang sangat penting pada seseorang Islam yang tunduk dan patuh kepada Allah. Ia tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia. Malah ia adalah lambang dan simbol utama keteguhan iman yang terpahat dalam hati Muslim.

Namun, segelintir umat Islam hari ini belum memahami pengertian taqwa yang sebenar dan kepentingannya dalam kehidupan harian. Nabi s.a.w. menjelaskan lagi konsep taqwa sebagaimana dalam hadis berikut : ” Sesiapa yang menyebut kalimah “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dengan ikhlas, nescaya dia dapat masuk syurga.” Kemudian baginda ditanya: “Apakah maksud ikhlas itu?”. Baginda menjawab : “Iaitu kamu memelihara diri kamu daripada melakukan larangan Allah.”

Pendek kata, ketaqwaan menurut alQuran dan hadis adalah menunaikan segala amalan yang difardukan dan meninggalkan segala yang diharamkan Allah dan RasulNya. Inilah pengertian umum bagi taqwa yang sekurang-kurangnya perlu dimaklumi dan dihayati oleh umat Islam dalam kehidupan yang penuh dengan cabaran pada hari ini.

Ibnu Abbas pernah menyatakan :
“Orang yang bertaqwa ialah mereka yang sentiasa beringat akan seksaan Allah apabila meninggalkan segala perintahnya. Oleh itu, mereka tidak akan meninggalkannya dan sebaliknya melaksanakan perintahnya dengan penuh kepatuhan dan ketulusan serta sentiasa mengharapkan rahmatnya dan keredhaannya dalam semua urusan yang diperintahkannya.”

Sumber : Pelbagai

Komentar ditutup.