Tazkirah Buat Saudara-saudaraku

"Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman"


Rayuan penghuni-penghuni neraka

Saudara-saudaraku sekelian….

Semua manusia tahu bahawa neraka adalah tempat azab seksa dan mereka tidak sesekali mahu menghampirinya dan mendiaminya. Manusia yang beriman dan bertakwa saja yang ingin menjauhkan diri dari lembah kehinaan berpanjangan ini. Maka mereka berbuat dan beramal dengan kebaikan dan beramal dengan amalan-amalan yang disuruh oleh Allah, dan meninggalkan segala godaan nafsu dunia yang sementara ini untuk kehidupan abadi yang dijanjikan Allah yakni Alam Akhirat, yang kebanyakan manusia pada hari ini kurang yakin kepadanya sehingga banyak meninggalkan suruhan agama…
Teruskan membaca


Panasnya Neraka

ilustrasi api

Abu Hurairah meriwayatkan:

“Ketika Rasulullah s.a.w berkata: Api dunia kamu adalah satu dari 70 bahagian api neraka; “lalu seseorang bertanya; “Ya Rasulullah,adakah ia tidak akan mencukupi untuk membakar orang kafir? Maka Rasulullah menjawab “Api neraka mempunyai 69 bahagian lebih dari api biasa di dunia dan kesemuanya adalah sangat panas sebagaimana ia (api dunia).

(Riwayat Bukhari).

Saudara-saudaraku…

Marilah kita ke Sirathal mustaqim….jalan yang lurus, jalan yang betul, jalan yang diredhai Allah, jalan yang ditunjukkan Rasulullah…Jangan kita tergigit oleh api neraka walau sesaat pun kerana seksanya amat memedihkan dan mendahsyatkan. Moga kita diselamatkan Allah dari Neraka Jahannam yang disediakan untuk manusia kufur itu. Ingatlah bahan bakar api neraka itu hanyalah manusia dan batu-batu. Siapakah manusia itu? Iaitu manusia yang sentiasa memprotes perintah Allah. Dan apalah batu-batu itu? Di antara batu-batu itu adalah batu sembahan manusia iaitu patung berhala…Ingatlah wahai saudara-saudaraku yang beriman, kembalilah kepada Allah dan Rasulnya….Allahumma inna nauzubika min azabi jahannam wa min azabil qabr. Amin…

Wallahu a’lam


Puasa Menjauhkan Diri Dari Neraka

Dari Abu Said r.a., katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tiada seorang hamba pun yang berpuasa sehari dengan niat fi-sabilillah ( yakni semata-mata menuju kepada ketaatan kepada Allah), melainkan Allah akan menjauhkan wajahnya – yakni dirinya (kerana puasanya tadi), sejauh perjalanan tujuh puluh tahun dari neraka.”

(Muttafaq ‘alaih)

Berpuasalah dengan penuh kesabaran dan ketabahan dengan pengisian amal ibadah berterusan siang dan malam. Zikir, istighfar, solat-solat sunat siang dan malam, membaca Al-Quran, bertadarus, bersedekah dan sebagainya,  semuanya mendatang pahala berlipat kali ganda di sisi Allah Taala.

Jauhilah segala larangan-larangan Allah dengan mentaati segala perintahnya semoga kita mendapat pengampunan seluas langit dan bumi sebagaimana dijanjikan Allah……amin.


1 Komen

Azab orang yang berbuka sebelum masanya/ tidak berpuasa

Dari Abu Umamah Al-Bahili r.a, berkata : Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :

“Ketika aku sedang tidur, datanglah dua orang lelaki kemudian memegang lenganku, lalu membawaku ke satu gunung yang kasar (tidak rata), keduanya berkata, “Naik”. Aku katakan, “Aku tidak mampu”. Keduanya berkata, ‘Kami akan memudahkanmu’. Akupun naik hingga sampai ke puncak gunung, ketika itulah aku mendengar suara yang keras. Akupun bertanya, ‘Suara apakah ini?’. Mereka berkata, ‘Ini adalah teriakan penghuni neraka’. Kemudian keduanya membawaku, ketika itu aku melihat orang-orang yang digantung dengan kaki di atas, mulut mereka robek, darah mengalir dari mulut mereka. Aku bertanya, ‘Siapa mereka?’ Keduanya menjawab, ‘Mereka adalah orang-orang yang berbuka sebelum halal puasa mereka (sebelum masuk waktu berbuka)”.

(Riwayat An-Nasa’i)

Ingatlah wahai saudara-saudaraku, meninggalkan puasa ramadhan dengan sengaja adalah berdosa besar jika tiada sebab yang diizinkan syarak. Pada hari ini azab memang tidak terasa atau dilihat sesiapa. Bagi yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka akan sentiasa bersungguh-sungguh berpuasa dan berwaspada daripada mendapat kehinaan di Akhirat kelak.Dan ingatlah jua masa berbuka, bersabarlah sehingga benar-benar pasti masuk waktu berbuka. Wallahu a’lam

Allahumma inna nas-aluka ridhaka wal jannah……..amin


Rahmat dan melihat Allah

Abu Hurairah r.a berkata :


Sesungguhnya orang ramai telah bertanya Rasulullah s.a.w dengan berkata: Wahai Rasulullah! Adakah kami dapat melihat Tuhan kami pada Hari Kiamat? Lalu Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Adakah memudaratkan iaitu berbahaya jikalau kamu melihat bulan pada malam purnama? Mereka pun menjawab: Tidak, wahai Rasulullah! Baginda bertanya lagi kepada mereka: Adakah berbahaya jikalau kamu melihat matahari yang tidak dilindungi awan? Mereka menjawab: Tidak, wahai Rasulullah! Kemudian baginda bersabda: Begitulah juga kamu akan melihat-Nya, Allah s.w.t akan menghimpunkan seluruh manusia pada Hari Kiamat dan berkata kepada mereka bermaksud: Sesiapa yang menyembah sesuatu benda, maka ikutilah benda tersebut. Bagi orang yang menyembah matahari, mereka akan mengikut matahari tersebut. Bagi orang yang menyembah bulan maka mereka akan mengikuti bulan tersebut. Manakala orang yang menyembah taghut, maka mereka akan mengikuti taghutnya itu. Jadi tinggal lagi umat ini iaitu umat yang percaya kepada Allah termasuklah orang-orang munafik yang tetap dengan kemunafikan mereka. Lalu Allah mendatangi mereka dengan bukan gambaran-Nya yang sebenarnya di mana gambaran tersebut mereka kenal dan berfirman kepada mereka: Akulah Tuhanmu. Mereka berkata: Kami berlindung dengan Allah daripada engkau iaitu gambaran tersebut, beginilah pendirian kami sehingga Tuhan kami benar-benar datang kepada kami kerana kami mengenali-Nya. Lalu Allah mendatangi mereka dengan gambaran-Nya yang sebenarnya sebagaimana yang mereka kenali dan berfirman kepada mereka: Akulah Tuhan kamu. Mereka pun menjawab: Engkaulah Tuhanku. Mereka pun mengikut-Nya. Kemudian Allah merentangkan kepada mereka suatu titian yang merentangi Neraka. Maka aku bersama umatku adalah orang pertama yang menyeberanginya. pada hari itu tiada seorangpun yang dapat berbicara kecuali para Rasul. Para Rasul berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Selamatkanlah, selamatkanlah. Di dalam Neraka terdapat sejenis besi berkait seperti duri Saadan iaitu nama tumbuhan yang berduri besar, adakah kamu pernah melihat duri Saadan? Mereka pun menjawab: Ya, wahai Rasulullah! Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya ia seperti duri Saadan yang tidak diketahui sebesar manakah bentuknya kecuali Allah. Ianya menggait manusia bersama amalan mereka. Tinggallah orang-orang mukmin bersama amalannya yang berjaya melintasi Neraka. Setelah Allah menetapkan hukuman di antara para hamba dan hendak mengeluarkan mereka dengan rahmatNya maka Dia akan memerintahkan para malaikat agar mengeluarkan mereka dari Neraka tersebut. Manakala Orang yang tidak menyekutukan-Nya dan Dia menghendakinya maka mereka dikeluarkan dari sana dengan rahmat-Nya, begitu juga bagi orang yang berkata لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ sesungguhnya para Malaikat mengenali mereka semasa dalam Neraka melalui kesan sujud. Api Neraka akan memakan seluruh anggota anak Adam kecuali kesan sujud. Allah telah mengharamkan api Neraka dari memakan kesan tersebut. Kemudian mereka dikeluarkan dari Neraka dalam keadaan hangus, lalu disiram dengan air kehidupan, maka pulihlah mereka sebagaimana tumbuhnya benih dalam kawasan banjir iaitu lumpur. Setelah Allah selesai dari mengadili hamba-Nya, tinggal lagi seorang lelaki yang menghadapkan wajahnya ke Neraka. Dia adalah ahli Syurga yang terakhir memasukinya. Dia berkata: Wahai Tuhanku, palingkanlah wajahku dari Neraka kerana wapnya benar-benar menampar mukaku dan nyalaannya membakarku. Dia terus memohon daripada Allah sepuas-puasnya. Kemudian Allah s.w.t berfirman: Adakah kamu akan terus meminta sekiranya Aku menunaikan permintaanmu itu? Lalu dia menjawab: Aku tidak akan meminta lagi dari-Mu perkara lain. Lalu Allah memperkenankan permohonannya itu dan memalingkan mukanya dari Neraka. Apabila dia berpaling menghadap Syurga dia terus terpegun, lalu dia memohon daripada Allah dengan berkata: Wahai Tuhanku, hampirkanlah aku kepada pintu Syurga. Maka Allah menjawab: Tidakkah engkau telah berjanji tidak akan meminta lagi perkara lain dariKu, celaka sungguh engkau wahai anak Adam. Dia pun menjawab: Tidak, demi keagungan-Mu, lalu dia berjanji lagi kepada Tuhannya. Lalu Allah mendekatkannya ke pintu Syurga. Setelah dia berdiri di ambang pintu Syurga, terbukalah pintu Syurga dengan luas untuknya, sehingga dia dapat melihat dengan jelas segala keindahan dan kesenangan yang terdapat di dalamnya. Dia terus diam terpegun untuk seketika, kemudian dia berkata lagi: Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam Syurga. Maka Allah s.w.t berfirman kepadanya: Bukankah engkau telah berjanji tidak akan meminta selain perkara yang telah Aku berikan? Celaka engkau wahai anak Adam. Lalu dia menjawab: Tidak, wahai Tuhanku, aku tidak mahu menjadi makhluk-Mu yang paling malang. Dia terus berdoa kepada Tuhannya tanpa berputus asa sehinggalah Allah memperkenankan permintaannya lalu berfirman kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga. Setelah dia memasuki Syurga, Allah berfirman kepadanya: Pohonlah lagi. Maka dia terus memohon kepada Tuhannya dan dia terus meminta sehinggalah Allah mengingatkannya dengan beberapa perkara. Setelah habis permintaannya, Allah s.w.t pun berfirman: Apa yang berlaku itu merupakan kemurahanku kepadamu dan umatmu, begitu juga kepada umat lain bersama Nabi mereka

Riwayat Muslim

Moga mendapat pengajaran……..Moga Allah mengampunkan hambaNya yang bertakwa dan beriman.

Ya rabbana, adkhilna ilal jannah, amin……….