Tazkirah Buat Saudara-saudaraku

"Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman"

Kelebihan Ramadan


Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang menafkahkan sepasang binatang (dua ekor kuda, lembu ataupun unta) untuk sabilillah (perjuangan agama Allah), maka dia akan diseru dari pintu-pintu syurga dengan ucapan: “Hai hamba Allah, inilah kebaikan.” Sesiapa daripada golongan ahli solat, maka dia akan dipanggil dari Pintu Solat. Sesiapa daripada golongan ahli jihad, maka dia akan diseru dari Pintu Jihad. Sesiapa daripada golongan ahli puasa, maka dia akan diseru dari Pintu Rayyan. Sesiapa daripada golongan ahli sedekah, maka dia akan diseru dari Pintu Sedekah”

Saidina Abu Bakar RA berkata: “Biabi anta wa ummi ya Rasuiullah, tidak ada kerugian sama sekali bagi seseorang yang telah dipanggil dari pintu-pintu itu. Tetapi apakah ada seseorang yang dipanggil dari semua pintu itu?” Baginda SAW menjawab: “Ya ada dan saya mengharapkan agar anda termasuk dalam golongan orang yang diseru dari segala pintu tadi.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dari Sahl bin Sa’ad RA daripada Nabi SAW sabdanya:

“Sesungguhnya di dalam syurga itu ada sebuah pintu yang disebut Pintu Rayyan. Semua orang yang berpuasa akan memasukinya pada hari kiamat dan tidak dibenarkan sesiapa pun selain daripada mereka memasukinya. Lalu dikatakan: “Di manakah orang yang berpuasa?” Lantas mereka pun berdiri dan tidak ada seorang pun yang dapat masuk selain orang yang berpuasa. Apabila sekalian orang berpuasa telah masuk, maka ditutuplah dan tiada seorang pun yang dapat memasukinya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Ibnu Abbas RA katanya: “Rasulullah SAW adalah sedermawan-dermawan manusia dan lebih-lebih lagi kedermawaannya itu dalam bulan Ramadhan ketika ditemui oleh malaikat Jibril. Jibril akan menemui Baginda SAW pada setiap malam bulan Ramadhan untuk bertadarus al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah SAW itu, ketika ditemui oleh Jibril adalah lebih dermawan dalam memberikan kebaikan melebihi angin yang bertiup.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Said RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:

“Tiada seorang hamba pun yang berpuasa sehari dengan niat fi-sabilillah (semata-mata menuju ketaatan kepada Allah) melainkan Allah akan menjauhkan wajahnya (dirinya) daripada neraka selama tujuh puluh tahun.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkanlah untuk dosa-dosanya yang terdahulu.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

sumber :
http://www.bankislam.com.my

Advertisements

Komentar ditutup.