Tazkirah Buat Saudara-saudaraku

"Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman"

Ancaman Hobi Mengumpat

1 Komen


Saudara-saudaraku sekelian….jauhilah kemungkaran suka mengumpat…ingatlah ancaman-ancaman Allah dalam Al Quran dan hadis Rasulullah s.a.w, di antaranya:

Firman Allah dalam ayat 12, surah Al Hujurat :


Maksudnya :

“Dan janganlah setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu membencinya. Bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah maha penerima taubat, lagi maha mengasihani.

Firman Allah lagi dalam Surah Al Humazah, ayat 1:

Maksudnya : “Celakalah untuk setiap orang yang mengumpat dan mencela” ,

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Setiap muslim haram darahnya, hartanya dan harga dirinya atas muslim yang lain”

Baginda juga bersabda yang bermaksud:
“Takutilah ghibah (mengumpat), ia lebih buruk dari zina. Lelaki yang zina lalu ia bertaubat, Allah menerima taubatnya, sedangkan Allah tidak mengampuni orang yang mengumpat sebelum orang diumpat memaafkannya”.

Sabda baginda lagi ; “Sesiapa yang mengumpat bermaksud untuk menghina saudaranya, Allah meletakkanya di jambatan neraka pada hari kiamat hingga bebas dari apa yang dikatakannya”.

Sabda baginda s.a.w :
“Mengumpat itu ialah menuturkan keburukan saudaramu sama ada anggota badan, keturunannya, perbuatannya, ucapannya, agamanya, dunianya, bahkan baju, selendang atau tunggangannya”.

Diriwayatkan ada seorang wanita kerdil datang untuk berjumpa Rasulullah s.a.w. kerana ada urusan. Setelah dia pulang Aisyah berkata : “Wah, pendeknya dia…” Lalu Rasulullah berkata : “Kamu telah mengumpat wahai Aisyah”. Sabdanya lagi : “ Jangan kamu mengumpat, padanya ada tiga keburukan, doa tidak dimakbulkan, kebaikannya tidak diterima dan akan ditimpakan kepadanya keburukan orang yang diumpat”.

Anas bin Malik berkata, Rasulullah s.a.w pernah memberitahu : “Ketika israk aku melalui satu kaum yang sedang melukakan muka mereka dengan kuku mereka sendiri serta memakan bangkai, maka aku bertanya, siapakah mereka wahai Jibril? Dia berkata : Mereka itu adalah orang-orang yang memakan daging orang di dunia”.

Abu Hurairah pula berkata, Sabda Rasulullah s.a.w : “Sesiapa makan daging saudaranya di dunia, diberikan kepadanya dagingnya di hari kiamat dan dikatakan, makanlah bangkai itu. Sesungguhnya kamu telah memakannya waktu kamu hidup’.

Saudara-saudaraku …Orang yang suka mengumpat ini wajiblah menyesal dan bertaubat. Kemudian minta halalkan kezaliman itu dari orang yang diumpat. Sabda Rasulullah s.a.w :
“Sesiapa yang mengumpat saudara muslimnya, Allah akan memindahkan mukanya ke dubur di hari kiamat”.

Wallahu a’lam.

One thought on “Ancaman Hobi Mengumpat

  1. aLLHAMDULILLAH..MOGA2 ALLAH SWT LIMPAHKAN RAHMAT KEATAS ANDA. aMIN.

    Abyelsyam: “Limpahkan keberkatanMu Ya Allah kepada kami….Amin.