Tazkirah Buat Saudara-saudaraku

"Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman"

Larangan bersifat bakhil dan kikir


Moga Allah memberkati…alangkah baiknya kalau sentiasa begini…

Saudaraku sekelian…

Berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan serta mengamalkan sifat-sifat terpuji adalah sangat dituntut dalam Islam. Oleh itu kita hendaklah berusaha menghindarkan diri daripada bersifat keji seperti kedekut, tidak bertimbang rasa kepada orang-orang yang susah dan tidak memberi maaf terhadap orang lain. Kerana sifat-sifat tersebut tidak mendatangkan kebaikan kepada diri dan masyarakat.

Firman Allah Taala:

Maksudnya :

“Sebaliknya orang yang bakhil (daripada membuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahan serta ia mendustakan perkara yang baik, maka sesunggguhnya kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan dan apakah pertolongan yang dapat diberikan kepadanya oleh hartanya apabila ia telah terjerumus (ke dalam azab seksa hari akhirat)?”

(Surah Al-Lail : 8 hingga 11)

Firman Allah dalam Surah At-Taghabun : 16,

Maksudnya :

“Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu dan dengarlah (pengajaran-pengajarannya serta taatilah (perintah-perintahNya dan berbelanjalah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu dan (ingatlah) sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya maka merekalah orang-orang yang berjaya”

Sabda Rasulullah s.a.w, daripada Jabir r.a berkata:

“Takutlah kamu daripada melakukan perbuatan zalim kerana sesungguhnya perbuatan tersebut akan membawa kegelapan pada hari kiamat dan takutlah kamu daripada bersifat bakhil kerana sesungguhnya perbuatan tersebut membawa kebinasaan kepada orang-orang sebelum kamu, mereka sanggup melakukan pertumpahan darah sesama sendiri dan menghalalkan yang haram”

(Riwayat Muslim)

Marilah kita bersama-sama bersifat pemurah sentiasa menolong orang-orang yang memerlukan bantuan, serta berbelanja secara sederhana dan menjauhkan diri daripada bersifat bakhil, kedekut dan kikir yang tidak bertempat. Ingatlah orang-orang yang melakukan kezaliman sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain akan mendapat pembalasan setimpal daripada Allah hari akhirat kelak.

Wallahu a’lam. Moga mendapat manfaat…

Komentar ditutup.