Tazkirah Buat Saudara-saudaraku

"Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman"

Dahsyatnya Alam Barzakh (Bhg-7)


Saudaraku sekelian……..

Abu Al-Laith meriwayatkan dengan sanadnya dari Saad bin Almusayyab dari Umar r.a. berkata: Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Jika seorang mukmin telah masuk ke dalam kubur, maka didatangi oleh dua Malaikat yang menguji dalam kubur, lalu mendudukkannya dan menyoalnya, dia mendengar suara derapan sepatu mereka, lalu ditanya oleh kedua Malaikat itu: “Siapa Tuhanmu?”, dan “Apakah agamamu?”, dan “Siapa Nabimu?”, lalu dijawab: “Allah tuhanku”, dan “Islam agamaku” dan “Muhammad nabiku”.


Lalu Malaikat itu berkata: “Allah yang menetapkan kamu dengan kalimah itu, tidurlah kamu dengan tenang hati. Itulah ertinya Allah menetapkan mereka dengan kalimah yang benar. Adapun orang kafir zalim maka Allah menyesatkan mereka dengan tidak memberi petunjuk taufiq pada mereka, sehingga ketika ditanya oleh Malaikat: Siapa Tuhanmu, apa agamamu dan siapa Nabimu, maka jawab orang kafir atau munafiq: “Tidak tahu”, lalu dipukul sehingga jeritan suara mereka terdengar oleh semua makhluk di alam dunia kecuali manusia dan jin. (Dan andai didengar oleh manusia pasti pengsan).

Abu Hazim dari Ibn Umar r.a. berkata: Nabi Muhammad s.a.w bersabda kepada Umar r.a : “Bagaimanakah kamu wahai Umar jika didatangi oleh kedua Malikat yang akan mengujimu di dalam kubur iaitu Munkar dan Nakir, hitam keduanya kebiru-biruan, taring keduanya mencecah bumi, sedang rambut keduanya sampai ke tanah dan suara keduanya bagaikan petir yang dahsyat, dan matanya bagaikan kilat yang menyambar?” Umar bertanya: “Ya Rasullullah, apakah ketika itu aku cukup sedar sebagaimana keadaanku sekarang ini?” Nabi Muhammad s.a.w menjawab: “Ya.” Umar berkata: “jika sedemikian maka aku selesaikan keduanya dengan izin Allah. Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Umar seorang yang mendapat taufiq.”

Abu Al-Laith berkata: “saya telah diberitahu oleh Abul-Qasim bin Abdurrahman bin Muhammad Asysyabadzi dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Tiada seorang yang mati melainkan ia meraung yang didengari oleh semua binatang kecuali manusia, dan andaikata ia mendengar pasti pengsan, dan bila dihantar ke kubur, maka jika ia soleh, ia berkata: “Segerakanlah aku, andaikan kamu mengetahui apa yang di depanku daripada kebaikan, nescaya kamu akan menyegerakan aku. Dan bila ia tidak soleh maka ia berkata: “Jangan terburu-buru, andaikata kamu mengetahui apa yang di depan aku adanya bahaya, nescaya kamu tidak akan terburu-buru. Kemudian jika telah dikebumikan, didatangi oleh dua Malaikat yang hitam kebiru-biruan dari arah kepalanya, maka ditolak oleh sembahyangnya: Tidak boleh datang dari arahku sebab adakalanya ia semalaman tidak tidur kerana takut dari saat yang seperti ini, lalu datang dari bawah kakinya, maka ditolak oleh baktinya pada kedua orang tuanya: Jangan datang dari arahku, kerana ia biasa berjalan tegak kerana ia takut dari saat seperti ini, lalu datang dari arah kanannya, maka ditolak oleh sedekahnya: Tidak boleh datang dari arahku, kerana ia pernah sedekah kerana ia takut dari saat seperti ini, lalu ia datang dari kirinya maka ditolak oleh puasanya: Jangan datang dari arahku, kerana ia biasa lapar dan haus kerana takut saat seperti ini, lalu ia dibangunkan bagaikan dibangunkan dari tidur, lalu ia bertanya: Bagaimana pendapatmu tentang orang yang membawa ajaran kepadamu itu? Ia tanya: Siapakah itu? Dijawab: Muhammad s.a.w? Maka dijawab: Saya bersaksikan bahawa ia utusan Allah. Lalu berkata kedua Malaikat itu: Engkau hidup sebagai seorang mukmin, dan mati juga mukmin. Lalu diluaskan kuburnya, dan dibukakan baginya segala kehormatan yang dikurniakan Allah kepadanya. Semoga Allah memberi kita taufiq dan dipelihara serta dihindarkan dari hawa nafsu yang menyesatkan, dan menyelamatkan kami dari siksa kubur kerana Nabi Muhammad s.a.w juga berlindung kepada Allah dari siksa kubur.”

Moga mendapat manfaat…

Advertisements

Komentar ditutup.