Tazkirah Buat Saudara-saudaraku

"Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman"

Dahsyatnya Alam Barzakh (Bhg-6)


‘Amr bin Dinar berkata: “Ada seorang penduduk Madinah yang mempunyai saudara perempuan di hujung kota yang sakit kemudian mati, maka setelah diselesaikan persiapannya ke kubur dan dikebumikan, maka dia kembali pulang ke rumah, lalu dia teringat pada bungkusan yang tertinggal dalam kubur, maka ia meminta bantuan orang untuk menggali kubur itu semula dan sesudah digali maka bertemulah semula bungkusan tersebut, ia berkata kepada orang yang membantunya itu:


“Tolong aku ke tepi sebentar kerana aku ingin mengetahui bagaimana keadaan saudaraku ini.” Lalu dibuka sedikit lahadnya, tiba-tiba dilihatnya kubur itu menyalakan api, maka segera ia meratakan kubur itu dan kembali kepada ibunya lalu bertanya: “Bagaimanakah kelakuan saudaraku itu semasa hidupnya?” Ibunya berkata: “Mengapa kau menanyakan kelakuan saudaramu, padahal ia telah mati?” Anaknya tetap meminta supaya diberitahu tentang amal perbuatan saudaranya itu, lalu diberitahu bahawa saudaranya itu biasanya melewatkan sembahyang dari waktunya, juga cuai dalam penyucian diri dan di waktu malam sering mengintai rumah jiran untuk mendengar perbualan mereka lalu diberitahu kepada orang lain sehingga mengadu domba antara mereka, dan itulah sebabnya siksaan kubur. Kerana itu siapa yang ingin selamat dari seksaan kubur haruslah menjauhkan diri dari sifat namimah (adu domba di antara tetangga dan orang lain) supaya selamat dari seksaan kubur dan mudah baginya menjawab pertanyaan Malaikat Munkar dan Nakir.”

Albarra’ bin Aazib r.a. berkata: “Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

“Seorang mukmin bila disoal dalam kubur, maka dia terus  membaca Asyhadu an laa ilaha illallah wa anna Muhammad abduhu warasuluh, maka itulah yang tersebut dalam firman Allah yang bermaksud : “Allah menetapkan orang-orang yang beriman dengan khalimah yang teguh di mana hidup di dunia dan di akhirat (yakni khalimah laa ilaha illallah, Muhammad Rasullullah).

Dan ketetapan itu terjadi dalam tiga masa iaitu:

§ Ketika melihat malakulmaut

§ Ketika menghadapi pertanyaan Munkar dan Nakir

§ Ketika menghadapi hisab di hari akhirat

Dan ketetapan ketika melihat Malakulmaut dalam tiga keadaan iaitu:

§ Terpelihara dari kekafiran, dan mendapat taufiq dan istiqamah dalam tauhid sehingga keluar rohnya dalam Islam

§ Diberi selamat oleh Malaikat bahawa ia mendapat rahmat

§ Melihat tempatnya di syurga sehingga kubur menjadi salah satu kebun syurga.

Adapun ketetapan ketika hisab juga dalam tiga perkara iaitu:

§ Allah s.wt. memberinya ilham sehingga dapat menjawab segala pertanyaan dengan benar

§ Mudah dan ringan hisabnya

§ Diampunkan segala dosanya

Ada juga yang mengatakan bahawa ketetapan itu dalam empat masa iaitu:

§ Ketika mati

§ Di dalam kubur hingga dapat menjawab pertanyaan tanpa gentar atau takut

§ Ketika hisab

§ Ketika berjalan di atas sirat sehingga berjalan seperti kilat

Advertisements

Komentar ditutup.