Tazkirah Buat Saudara-saudaraku

"Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman"

Dahsyatnya Alam Barzakh (Bhg-4)


Abu-Al-Laith berkata: “Sesiapa yang ingin selamat dari seksaan kubur maka wajiblah melazimi empat perkara dan meninggalkan empat perkara iaitu menjaga solat lima waktu, banyak bersedekah, banyak membaca al-Quran dan memperbanyakkan bertasbih (Subhanallah walhamdulillah walaa ilaha illallah wallahu akbar, walahaula wala quwwata illa billah). Semua empat perkara ini dapat menerangi kubur dan meluaskannya. Adapun empat perkara yang wajib ditinggalkan ialah berdusta, khianat, mengadu-domba dan menjaga kencing kerana Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: “Bersih-bersihlah kamu daripada kencing, sebab umumnya seksa kubur itu kerana kencing”(tidak mencuci sehingga bersih).


Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud :

Sesungguhnya Allah tidak suka padamu empat perkara, main-main dalam solat, lagha dalam bacaan Quran, berkata keji waktu berpuasa dan ketawa di dalam kubur.”

Muhammad bin Assammak ketika melihat kubur berkata: “Kamu jangan tertipu kerana ketenangan dan diamnya kubur-kubur ini, alangkah banyaknya orang yang sudah bingung di dalamnya, dan jangan tertipu kerana ratanya kubur ini, alangkah jauh berbeza antara yang satu dengan yang lain di dalamnya. Maka seharusnya orang yang berakal memperbanyakkan ingat pada kubur sebelum masuk ke dalamnya.”

Sufyan Athauri berkata: “Sesiapa yang sering (banyak) memperingati kubur, maka akan mendapatkannya kebun dari kebun-kebun syurga, dan sesiapa yang melupakannya maka akan mendapatkannya jurang dari jurang-jurang api neraka.”

Ali bin Abi Talib r.a. berkata dalam khutbahnya: “Hai hamba Allah, berhati-hatilah kamu dari maut yang tidak dapat dihindari, jika kamu berada di tempat, ia datang mengambil kamu, dan bila kamu lari pasti akan terpegang juga, maut terikat selalu di ubun-ubunmu, maka carilah jalan selamat dan bersegeralah, sebab di belakangmu ada yang mengejar kamu iaitu kubur, ingatlah bahawa kubur itu adakalanya kebun dari kebun-kebun syurga atau jurang dari jurang-jurang neraka dan kubur itu tiap-tiap hari berkata-kata: “Akulah rumah yang gelap, akulah tempat sendirian, akulah rumah ulat-ulat.”

“Ingatlah sesudah itu ada hari (kiamat) yang lebih ngeri, hari di mana anak kecil segera beruban dan orang tua bagaikan orang mabuk, bahkan ibu yang terlepas bayinya dan wanita yang hamil menggugurkan kandungannya dan kau akan melihat manusia bagaikan orang mabuk tetapi tidak mabuk khamar, tetapi hanya seksa Allah s.w.t. yang sangat ngeri dan dahsyat.”

“Ingatlah bahawa sesudah itu ada api neraka yang sangat panas dan suram lagi dalam, perhiasannya besi dan airnya adalah darah bercampur nanah, tidak ada rahmat Allah di sana. Maka kaum muslimin ada yang menangis. lalu ia berkata: “Dan di samping itu ada syurga yang luasnya selebar langit dan bumi, tersedia untuk orang-orang yang bertakwa. Semoga Allah s.w.t. melindungi kami dari siksa yang pedih dan menempatkan kami dalam Darun Naim (syurga yang penuh nikmat).”

Bersambung …..moga mendapat manfaat dan pengajaran

Komentar ditutup.