Tazkirah Buat Saudara-saudaraku

"Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman"

Amalan “berupa” di Padang Mahsyar


Saudaraku…ingatlah ;

Apabila disebut “amalan”, tidak sepatutnya diandaikan maksudnya amalan soleh sahaja. Tetapi sebenar meliputi segala aktiviti kita semasa di dunia ini. Perbuatan kita itu bukan sahaja secara sengaja tetapi juga meliputi perbuatan yang tidak disengajakan baik di waktu kita sedar dan sebaliknya, baik di waktu ingat dan dan waktu kita terlupa, semuanya dicatatkan oleh Malaikat Raqib dan Atid sebagai “bukti’ bila berhadapan dengan Allah pada Hari Perhitungan dan Pembalasan akhirat kelak.

Semua amalan perbuatan manusia di dunia ini akan diberikan rupa di Mahsyar. Amalan baik akan mengiringi pelakunya dan memberikannya ketenangan dan ketenteraman, sedangkan amalan mungkar akan membuatkan pelakunya gelisah dan terus menerus mengecamnya bahkan adakalanya memaksa pelakunya supaya memikul amal buruk itu di atas belakangnya. Firman Allah Taala ;

“Sungguh telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mereka dengan tuhan; sehingga apabila kiamat datang kepada mereka dengan tiba-tiba, mereka berkata: “Alangkah besarnya penyesalan kami, terhadap kelalaian kami tentang kiamat itu!”, sambil mereka memikul dosa-dosa di atas punggungnya. Ingatlah, amat buruklah apa yang mereka pikul itu”

(al-An’am : 31)

Setiap orang yang berdosa, akan melihat segala amalan mungkar yang pernah dilakukan semasa hidup, jika ia tidak bertaubat kepada Allah dari segala kesalahan itu sebelum meninggal dunia. Bertaubatlah bersungguh-sungguh sementara kita masih diberi peluang untuk hidup di saat ini…

Sebagai contoh, pemakan riba; perut mereka akan membuncit sehingga mereka tersungkur jatuh kerana terlalu besarnya perut yang dibawa. Para penzina; kemaluannya akan menjadi besar sehingga menyapu tanah. Para pendusta dan tukang fitnah; lidah mereka menjadi panjang sehingga ke dada. Orang yang enggan membayar zakat; akan dibelit ular-ular besar sebagai balasan dari harta mereka yang tidak dizakatkan. Orang-orang sombong; akan dibangkitkan sebesar semut, lalu mereka dipijak-pijak oleh orang-orang baik mahupun jahat, dan pelbagai macam azab lagi kepada pemprotes perintah Allah dan hamba tipudaya dunia ini, semuanya ini akan diperlihatkan di Padang Mahsyar.

Ya Tuhan, Ya Rabbal a’lamin, bangkitkan kami dengan rupa orang-orang yang Engkau redhai…amin.

Moga mendapat manfaat.

Komentar ditutup.