Tazkirah Buat Saudara-saudaraku

"Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman"

Antara Syurga atau Neraka



Bismillah…..

Menurut sebahagian besar ulama, semakin dekat orang yang akan meninggal dunia malaikat maut akan berulang-ulang mengunjungi orang itu. Kadang-kadang ia menunjukkan dirinya dengan jelas, bahkan kadang-kadang suaranya jelas terdengar orang itu. Kedatangan malaikat maut ini sebenarnya adalah suatu peringatan bahawa tidak lama lagi orang itu akan meninggal. Rupanya malaikat maut ingin memberi peringatan agar orang itu bersiap-siap dengan bekalannya. Rasulullah SAW telah bersabda :

“Apabila Allah bermaksud baik kepada seseorang hamba, maka bentuk malaikat maut itu akan disesuaikan dengan amal solehnya sebelum mati”.

Berdasarkan hadits ini, jelaslah bahwa bentuk malaikat maut yang datang itu bergantung kepada tingkat iman dan amalan soleh seseorang. Semakin banyak amal soleh orang itu, maka bentuk malaikat maut yang datang akan semakin menyenangkan. Dan sebaliknya semakin besar dosanya, maka bentuknya akan semakin menakutkan.

Dalam hadits lain, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa sebaik-baik sikap pada waktu meninggal adalah ingat kepada Allah dengan mengucapkan Lailaha iIlallah. Pada realitinya, amat jarang orang yang mampu mengucapkan kalimah itu pada saat sakaratulmaut ini dengan keikhlasan yang mendalam.

Menurut para ulama, pada saat seseorang akan meninggal, iaitu pada saat roh sudah sampai di halkum, maka ingatan, akal, dan ilmu akan hilang. Yang berfungsi hanyalah alam bawah sadarnya. Pada saat kritikal ini, syaitan akan berusaha sekuat tenaga dengan berbagai cara mengalihkan perhatian orang yang sedang mabuk maut itu agar jangan sampai mengucapkan lailaha illallah. Macam-macam idea dikeluarkannya, mungkin ia menjelma menjadi bentuk ayah atau ibunya yang telah meninggal, atau pun ia menjelma menjadi bentuk yang menakutkan. Semua idea setan ini tujuannya hanya satu, yaitu agar orang yang sedang sekarat itu terlena atau takut, sehingga akhirnya ia akan lupa kepada Allah. Oleh karena itu, bila kita melihat orang yang sedang berjuang dalam sakaratulmaut, maka bantulah dia dengan bisikan berulang-ulang kalimah Lailaha Ilallah sebagaimana petunjuk yang diberikan Rasulullah SAW:

“Talkinkan olehmu orang yang sedang dalam sakaratulmaut itu, dengan mengucapkan Lailaha iIlallah. Orang yang mengakhiri perkataannya itu dengan kalimah syahadah, maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga”.

Umar bin Khatab berkata, “Ucapkanlah kepada mereka yang sedang dalam sakratulmaut itu Lailaha iIlallah. Mereka itu melihat apa-apa yang tidak terlihat olehmu”.

Bagaimana cara mengatasi godaan syaitan pada waktu sakaratulmaut? Godaan syaitan yang maha berat pada waktu sakaratulmaut ini, hanya dapat diatasi dengan satu cara, iaitu rasa cinta yang mendalam kepada Allah. Kerana, apa yang paling dicintai, apa yang menjadi kerinduan siang dan malam, maka itulah yang akan teringat oleh kita pada waktu napas terakhir.
Seringkali kita berjumpa orang sedang mabuk maut itu menepis atau menolak bila dibisikkan “Lailaha iIlallah” ditelinganya. Ini kerana dalam keadaan itu, akal telah pergi, ingatan telah hilang, hati nurani akan mengatasi semua hal, kecuali pada apa yang dicintai saja. Oleh kerana itu, supaya kita sentiasa ingat kepada Allah dengan mengucapkan “Lailaha iIlallah” maka pupuklah rasa cinta kepada Allah. Kerana sekali lagi, dalam keadaan ini, akal akan beku, sedangkan hati hanya mampu mengingat apa-apa yang kita cintai saja, di mana akal sudah tidak normal dan syaitan sedang menggoda dengan seberat-berat godaan, serta badan menanggung rasa sakit yang luar biasa seperti ditusuk-tusuk dengan 300 tusukan pedang.

Untuk menumbuhkan rasa cinta pada Allah, biasakanlah berzikir mengingati-Nya. Jadikan Allah itu menjadi kekasih, dan letakkanlah Dia dalam rongga hati kita yang paling dalam.

Para ulama mengatakan, setelah selesai soaljawab dalam kubur, maka roh di alam barzakh akan ditempatkan pada tempat-tempat yang sudah disiapkan untuknya, iaitu sesuai dengan amal perbuatannya selama hidup di alam dunia. Yang amalan solehnya banyak, iaitu selalu taat mengerjakan perintah Allah, akan ditempatkan di tempat yang baik sekali; lebih indah dari kesenangan yang terdapat dalam mimpi. Sedangkan bagi yang selalu membangkang pada perintah Allah, akan mengalami penderitaan yang luar biasa pahitnya, naudzhubillah. Bagi mereka itu, alam barzakh adalah benar-benar tempat derita dan sengsara. Dalam hal ini Rasulullah SAW, bersabda:

“Janganlah kamu memaki orang yang telah mati. Kerana sesungguhnya mereka telah menemui apa yang mereka amalkan semasa hidupnya”.

Marilah saudara-saudaraku sekelian kita sedari, bahawa kekayaan dan amalan soleh yang sedikiit ternyata tidak ada gunanya sama sekali. Harta yang dicari bermati-matian itu, di dunia akan dibahagi-bahagi untuk waris-waris. Bayangkanlah, berpayah-payah mengumpulkan harta, kadang-kadang sudah Maghrib masih di tempat kerja. Bila meninggal, mayat kita di tempat tidur belum dimandi dan belum dikafani, waris sudah bertengkar berebutkan harta yang kita kumpulkan mati-matian itu. Yang dapat kita bawa masuk ke liang kubur hanyalah secarik kain kafan, iaitu kain putih sepanjang empat hasta. Tidak lebih dari itu!.

Rasulullah SAW pernah bersabda :
“Sesungguhnya kubur adalah tahap pertama dari beberapa tahap tempat di akhirat. Kalau seseorang telah selamat disitu, maka tahap yang sesudahnya akan lebih mudah dan kalau tidak selamat di situ, tahap yang sesudahnya akan lebih berat lagi”.

Cinta Allah adalah cinta sejati. La ilaha illallah. Moga kematianku dalam keadaan orang beriman, amin…… Moga memberi manfaat…Wallahu A’lam

Komentar ditutup.