Tazkirah Buat Saudara-saudaraku

"Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman"

Sebaik-sebaik Nafkah


Hadith :

Dari Tsauban r.a, katanya, Rasulullah SAW bersabda:
”Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan oleh seseorang ialah yang dinafkahkannya untuk keluarganya, untuk ternakan yang dipeliharanya, untuk kepentingan membela agama Allah (fi sabilillah) dan nafkah untuk para sahabatnya yang berperang fi sabilillah.”

(Muslim)
Huraian
Firman Allah yang maksudnya:
”Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah! Allah akan melipatgandakan pahala (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahun-Nya.”(al-Baqarah: 261)
Sememangnya harta merupakan sesuatu yang sangat diperlukan oleh manusia. Manusia memerlukan harta untuk menanggung keperluan hidupnya, bahkan ibadat-ibadat seperti haji dan zakat perlu dilakukan dengan menggunakan harta. Sedekah juga memerlukan harta. Membuat kebajikan seperti mendirikan masjid, hospital, sekolah dan lain-lain juga memerlukan harta. Oleh kerana besarnya peranan harta kepada kehidupan manusia, maka kebanyakan daripada aktiviti manusia berkisar pada soal harta atau ekonomi.Orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT tidak harus bersikap tamak dalam mengumpulkan harta tetapi hendaklah membelanjakannya ke jalan Allah dan yakin dengan janji Allah tentang rezekinya. Sejarah banyak menceritakan tentang sikap orang-orang beriman terhadap harta. Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a contohnya, menyumbangkan kesemua hartanya untuk jihad fi-sabilillah, tidak ada satu dirham pun disimpannya. Apabila Rasulullah s.a.w bertanyakan kepadanya mengapakah tidak ditinggalkan sedikit untuk menguruskan keperluannya, beliau menjawab, “Cukuplah Allah dan Rasulullah bagiku.” Abdul Rahman bin Auf yang terkenal dengan kekayaannya, mencari harta bukan untuk kepentingan dirinya tetapi untuk kegunaan menyebarkan agama Allah SWT. Salman al-Farisi ketika memegang jawatan amir, dia tidak mengambil gajinya, sebaliknya beliau menganyam daun kurma untuk dijadikan bakul dan tikar. Hasil anyamannya dijual dan apa yang diperolehinya dibahagikan kepada tiga bahagian. Satu bahagian sebagai modal pusingan, satu bahagian sebagai belanja ahli rumahnya dan satu bahagian lagi disedekahkan kepada golongan miskin. Oleh itu sesiapa yang menguruskan harta perlulah menjalankan amanah Allah SWT dan menafkahkannya atas dasar kehambaan kepada-Nya dengan sebaik mungkin.

Komentar ditutup.