Tazkirah Buat Saudara-saudaraku

"Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman"

Hidup hanya sementara ditipu dunia


Saudara-saudaraku yang mengaku beriman kepada Allah dan Hari Akhirat..

Hari-hari yang berlalu bagi sesetengah orang berdepan dengan pelbagai ujian. Macam-macam ujian datangnya dari lumrah kehidupan. Ada ujian berbentuk bala dari Allah yang memerlukan banyak kesabaran dan keinsafan seperti berlakunya fenomena perubahan cuaca dan alam. Semuanya kehendak Allah seperti gempa bumi, banjir, ribut itu dan ribut ini, ombak tsunami dan sebagainya.


Semuanya marilah menempuhinya dengan mengambil iktibar bahawa semuanya adalah datang daripada Allah jua untuk manusia semuanya mengambil pelajaran penting iaitu “Tiada Tuhan Melainkan Allah” Yang Maha Berkuasa pada kalimah-Nya “KUN FAYAKUN..”. Dengan berkat kesabaran bagi manusia beriman diberi pula ganjaran pahala berlipat kali ganda dengan sebab bertambahnya iman di dada dengan meyakini Allah penetap segala sesuatu.

Gambaran hidup ini adalah sementara adalah amat benar…lihatlah gunung-gunung yang dahulunya mungkin berjuta tahun lampau telah runtuh begitu sahaja dengan ledakan berapi…itu yang berjuta-juta tahun…apatah umur kita cuma berapa ya? Kalau usia kita 60, 80 tahun pun, cuma sekadar umur bayi sekiranya dibandingkan dengan umur Nabi Nuh Alaihis Salam yang telah diizinkan Allah sampai 1000 tahun lebih umurnya. Bahkan hari-hari, mungkin setiap saat ada yang mati menemui ajalnya.

Sayugia matlamat hidup semestinya menjurus kepada kehidupan Akhirat yang dijanjikan Allah dengan membawa sebaik-baik bekalan. Apakah bekalan itu? Kekayaan dan kemewahan? Pangkat dan darjat? Sedarkah kita sekelian…hari-hari hidup dalam permainan dan ditipu dunia bagi orang yang tidak mahu kepada Syurga. Ingatlah sebaik-baik bekalan adalah ketakwaan kepada Allah. Takutlah kepada Allah!

Oleh itu, majoriti manusia hari ini hidup mengejar kemewahan dan kekayaan, kejar pangkat dan populariti, mengejar nikmat dunia dan hidup kerana perempuan. Seolah-olah semua itu tiada di Akhirat. Walhal Akhirat adalah lebih baik dari segala yang ada di dunia.

Islam tidak melarang mencari dunia tetapi ada kawalan baik dan buruknya, halal dan haramnya. Janganlah menjual agama. Janganlah jadikan kekayaan bertapak di hati kerana akan merosakkan diri, sebaliknya jadikan kekayaan di tapak tangan saja. Tiada ertinya jika kaya tetapi kedekut dan bakhil. Jadilah orang kaya yang banyak pahala dengan menyumbang fi sabillah…bersedekah ke tempat yang di redhai Allah. Orang kaya dan mewah pada kebiasaanya lupa diri dan ego. Akan sentiasa menambahkan kekayaan kerana tamak haloba kerana disangka modal yang banyak harus dipusing-pusing agar bertambah kekayaan dan mendapat populariti. Bangga diri akan memakan diri…bahkan pepatah “orang tamak selalu rugi” ada benarnya, tamak dengan hanya menyimpan tiada disedekah orang mana nak dapat pahala bahkan kematiannya tiada apa yang dibawa ke dalam liang kecuali keranda kayu, kain kapan, kapas, sedikit bau-bauan. Berapakah harganya? Mana keretamu? mana rumahmu? mana hartamu? mana buku-buku akaunmu? Mana kalkulatormu?

Mungkin sebahagian orang-orang ini tidak tahu apa yang akan berlaku sesudah kita dikebumikan…Alangkah meruginya hidup sebegini di dunia. Hidup yang hanya tahu mencari makanan, perhiasan dan melepaskan nafsu semata! Bagai binatang…bangun pagi makan dan makan, cari makan, hidup untuk mencari makan!

Yang fardu dilupa dan dialpakan kononnya terlampau sibuk sehingga ada yang meninggalkan solat fardu kerana mengejar dunia yang tidak pasti….yang tidak kekal….yang sementara. Zakat harta diabaikan bimbang akan rugi…puasa diabaikan bimbang tiada tenaga untuk mengerjakan dunia, haji sengaja dilewat-lewatkan kononnya itulah kewajipan terakhir! Walhal itulah yang mesti diutamakan bila mampu dengan kekayaan dan mampu jasmani. Bukankah itu menyenangkan daripada masa perlukan bantuan orang?

Saudara-saudaraku….jangan tertipu dengan dunia ini. Makin hari semakin banyak godaan terutama skim-skim cepat kaya di dalam rangkaian online dan offline kerana mencari orang. Banyaklah sangat…yang mengundang bala dari Allah dan bakal mengundang… mirip skim Jutawan Firaun yang juta disebut orang sistem piramid. Ramai terpengaruh dengan skim-skim yang menjanjikan pelbagai imbuhan riba.

Apa guna kaya jika segala ibadat sunat dan wajib tidak diterima Allah? Apa guna kaya jika akhirnya masuk neraka?

Komentar ditutup.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.